Anda Akan Ketemu Apa Yang Anda Cari

Apa Yang Dicari“Anda akan ketemu dengan apa yang anda cari.” – Hamka

Perasan tak? Apa yang selalu anda fikirkan akan muncul dalam kehidupan anda.

Saya paparkan beberapa contoh seperti berikut:

Jika anda selalu membayangkan usaha anda akan menemui kegagalan, itulah yang selalunya anda
dapat.

Bila mood anda baik, kebanyakan daripada yang anda lihat nampak baik dan positif. Apabila mood
tidak baik, semuanya nampak teruk.

Apabila seseorang itu menggambarkan situasi akan menjadi begitu atau begini, yang kebiasaannya
negatif, selalunya gambarannya (dibaca doa) itu akan menjadi realiti.

“Sudah ditakdirkan nasib aku begini.” Selalunya bila berkata demikian, sesorang itu sudah pasrah
dengan keadaan dirinya. Adakah dia akan dikeluarkan daripada masalahnya?

“Aku susah nak faham subjek Fizik.” Adakah orang yang berkata demikian dapat menguasai subjek
fizik?

Sebelum ini anda tak perasan pun kereta model yang anda hendak beli berada di atas jalan raya.
Namun apabila anda terfikir untuk membelinya, anda perasan sudah banyak buah berada di jalan
raya.

Tidak berpuas hati dengan hubungan membuat seseorang hanya nampak perkara negatif mengenai
pasangannya dan terlepas pandang perkara baik. Begitu juga apabila tidak berpuas hati dengan
seseorang, tidak kira apa sebab, hanya perkara buruk tentangnya yang kelihatan. Segala kebaikan
yang dibuat oleh orang itu terlindung daripada mata hatinya.

Samalah juga apabila tidak berpuas hati dengan diri sendiri, seseorang itu akan hanya nampak
perkara negatif tentang dirinya.

Anda boleh mengubahnya dengan mengamalkan perkara berikut:

Cari kebaikan yang anda ingin lihat: Fikirkan apa yang anda ingini dalam kehidupan anda dan cari tanda-tandanya. Walau sekecil mana, akui dan hargainya. Contoh, pasangan anda mungkin suka berleter, tetapi beliau tidak pernah lupa untuk menjaga makan minum anda. Akui dan hargai penat lelah beliau dalam menjaga makan dan minum anda. Insya Allah banyak lagi kebaikan akan anda temui.

Tukar cara anda mengata tentang sesuatu yang terjadi: Apabila anak menumpahkan susu ke lantai atau memecahkan pinggan kesayangan atau seumpamanya, atau situasi lain sepertinya. Apa kata-kata yang dituturkan? Tukar kepada kata-kata yang boleh mendidik atau boleh membawa perubahan. Kalau dimarahi anak dengan kata-kata negatif, itulah doa anda. Kemungkinan banyak lagi perkara yang tidak diingini akan berlaku. Susu tumpah dan pinggan pecah boleh menjadi peluang untuk anda duduk bersama anak membersihkan lantai dan ianya menjadi pembelajaran untuk beliau.

Lupakan kerisauan tentang punca masalah: Anda boleh habiskan masa anda untuk mencari punca masalah yang anda hadapi. Kadang-kadang ianya membantu, namun selalunya tidak. Apabila ditemui punca masalah, tiada apa yang boleh anda buat untuk menghapuskan punca masalah tersebut. Lebih teruk lagi, lebih banyak masalah yang dihadapi. Utamakan untuk mencari penyelesaian daripada risau tentang punca; lihat perubahan yang akan berlaku.

Jika anda tidak suka dengan keadaan anda sekarang, ia mungkin berfaedah untuk memikirkan kenapa anda merasakan sedemikian. Walau bagaimana pun, ianya lebih berfaedah jika anda memikirkan kemana anda hendak pergi dan apa langkah-langkah kecil yang anda boleh anda lakukan untuk sampai ke sana. Amalan yang baik adalah amalan kecil yang dilakukan secara berterusan

Tanya perkara positif kepada diri sendiri: Apa perubahan yang aku ingin lihat dalam kehidupanku? Apa yang aku sedang lakukan jika aku sedang berbahagia? Jikalau anda memberi nasihat kepada rakan yang menghadapi keadaan yang sama dengan anda, apa yang anda akan katakan kepada beliau?

Fikirkan yang boleh dicapai: Fikirkan apa yang boleh anda capai bukannya yang mungkin tidak dapat dicapai. Anda mungkin tidak mampu memiliki rumah bak istana, namun ada rumah yang anda akan mampu miliki. Bersikap realistik dan tetapkan langkah-langkah kecil ke arah mana anda mahu pergi.

Cari perkara positif yang telah hadir dalam hidup anda, bukannya yang negatif. Lihat potensi untuk mengembangkannya dan berusaha untuk ke arah tersebut.

Untuk ingatan kita bersama:

Firman Allah, “Aku ini sebagaimana yang disangka oleh hamba-Ku. Aku bersamanya jika dia berdoa kepada-Ku.” – Hadis Qudsi.

Justeru bersangka baiklah kita kepada Allah, tuhan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Wallahua’lam.