Bagasi Emosi Pemutus Silaturahim

Bagasi emosi adalah perasaan yang anda ada mengenai masa lalu dan perkara yang telah berlaku kepada anda, yang selalunya mempunyai kesan negatif kepada tingkah laku dan sikap anda. Ianya mempunyai pengaruh besar ke atas hubungan anda dengan seseorang.

Bagi orang dewasa, bagasi emosi yang menjejaskan hubungan muncul dalam dua bentuk utama:

1. Harapan (ekspektasi) negatif yang disebabkan kisah lalu, mungkin berbentuk deraan (fizikal atau emosi). Ikatan kepada perkara lalu akan mencemarkan hubungan baru, yang mempunyai potensi untuk menjadi satu hubungan yang baik dan positif. Ini biasanya terjadi dalam hubungan atau perkahwinan yang kedua.

2. Mengungkit berulangkali masalah dalam hubungan semasa, yang menyebabkan masalah kecil menjadi besar disebabkan secara tidak sedar ianya dibebankan dengan arus negatif dari masa lalu, yang tidak boleh diselesaikan atau dilupakan untuk selamanya.

Di sebalik setiap masalah orang dewasa, biasanya terdapat bagasi emosi mendalam yang berakar umbi daripada pengalaman sejak di zaman kanak-kanak, remaja dan juga dewasa. Justeru jika anda mempunyai masalah dalam hubungan sekarang, sama ada dengan pasangan anda, kaum keluarga atau sahabat handai; susuri semula laluan kehidupan anda daripada zaman kanak-kanak anda hingga ke zaman dewasa. Di sana terdapat satu keputusan yang anda telah buat, tanpa disedari (oleh minda di bawah sedar), yang membentuk tingkahlaku dan sikap anda sekarang.

Sebagai contoh: Ada seorang kenalan saya yang mempunyai masalah dengan ayahnya. Dia sengaja mempamirkan perangai yang tidak baik kepada masyarakat untuk memalukan ayahnya, seorang yang terkenal. Bila beliau menyusuri zaman silamnya (dengan bantuan coach), terdapat suatu ketika di mana ayahnya bertanya kepada beliau kenapa beliau hanya mendapat 98% markah dalam peperiksaan di sekolah, bukannya 100%. Tanpa beliau sedari, pada masa itu minda di bawah sedar beliau telah membuat keputusan, “Kalau ayah tidak menghargai aku, buat apa aku menghargai dia.”

Dia berjumpa ayahnya dan bertanyakan tentang peristiwa tersebut. Ayahnya memberitahu bahawa dia ingin mengetahui di mana silapnya, sebab kenalan saya itu seorang yang sangat cerdik. Beliau sepatutnya mendapat 100%, jika sebaliknya, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Itulah yang ayahnya hendak kenalpasti dan perbetulkan. Sejak itu hubungan mereka menjadi akrab, dia tidak laku melakukan perkara yang boleh memalukan ayahnya. Malah kini beliau adalah seorang yang sangat dibanggakan oleh keluarganya.

bagasi emosiJika ianya dendam kepada seseorang, yang memang sering berlaku, maafkan orang tersebut. Maafkan mereka dalam hidup anda, bukan untuk mereka tetapi untuk kebaikan diri anda. Agar anda boleh membuang bagasi emosi yang dibawa selama ini, dengannya hidup anda akan menjadi lebih ringan dan bahagia. Ada kemungkinan anda menyalahkan diri sendiri, secara tidak sedar, di atas masalah hidup yang dihadapi. Maafkanlah diri anda.

Jika anda mempunyai hubungan silaturahim yang tidak baik dengan seseorang, terutamanya ahli keluarga. Jika anda ingin hidup anda tenang dan bahagia, lupakanlah perkara lalu, yang berlalu biarkan berlalu pergi. Maafkan kesalahan mereka demi untuk kebaikan diri anda. Jika mereka pergi dahulu daripada anda, anda akan menyesal kerana tidak sempat meminta maaf, dan anda tidak akan redha dengan pemergiannya.

“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 263)

“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (Surah al-A’raaf, ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.”- (HR. Al-Hakim)

Semoga kita menjadi orang yang pemaaf dan berjaya mendapatkan keampunan Allah SWT. Aamin.