Belajar Hidup Di Saat Ini

Ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan hidup umumnya bergantung kepada sama ada kita dapat hidup di masa kini.

Tidak kira apa yang telah berlaku di masa lalu dan apa yang akan berlaku atau tidak berlaku esok, saat ini adalah di mana kita berada sekarang – kehidupan kita.

hidup bahagiaKebanyakan daripada kita banyak menghabiskan masa untuk memikirkan perkara yang telah berlaku, yang tidak dapat diputar balik, dan risau tentang perkara yang belum tentu akan berlaku, yang tidak ada apa yang kita boleh buat untuk menghalangnya jika Allah ingin ianya berlaku. Memang susah untuk ditangani bila melibatkan emosi, namun kita perlu berusaha untuk tidak membiarkan peristiwa lalu membelenggu diri kita dan kerisauan tentang masa depan mengawal kehidupan kita di saat ini, yang membuat kita kecewa, bersedih, murung, resah dan putus harapan.

Kita sering lupa tentang nikmat hidup yang banyak, yang sedang kita kecapi sekarang, di saat ini, yang selalunya tidak kita syukuri. Kita meyakinkan diri bahawa kebahagian akan kita perolehi pada “suatu hari” nanti, namun dalam masa yang sama kita risau tentang “suatu hari” itu. Seolah-olah kita mempercayai bahawa “suatu hari” itu tidak akan tiba. Pelikkan?

Untuk mendapat ketenangan hidup, beri perhatian kepada saat ini. Kita patut bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup di dunia ini. Kita masih boleh melakukan sesuatu untuk kebaikan diri. Fikir apa yang kita boleh lakukan untuk mengembirakan orang lain, satu amalan yang akan memberi kegembiraan kepada kita. Lakukan juga amalan lain sebagai persediaan untuk kehidupan di alam barzah dan alam akhirat. Itulah yang patut kita risaukan.

Firman Allah s.w.t untuk renungan bersama:

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang (benar-benar) beriman.” – Surah Al-Imran Ayat 139.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.”
– Surah Al-Baqarah Ayat 45.