Berfikir Cara Biasa

Sebelum saya bercerita tentang topik minggu ini, “Berfikir Cara Biasa”, saya ingin membawa satu cerita seram untuk tatapan semua.

Kisah benar ini berlaku di jalan raya Kuala Kangsar ke Baling. Peringatan untuk pengguna jalan raya agar berhati-hati jika ada seorang tua yang nak tumpang kereta di kawasan semak samun selepas Kampung Jelapang (berhampiran Lubuk Merbau). Berikut adalah cerita sebagaimana diceritakan oleh insan yang mengalaminya:

Kejadian berlaku sewaktu aku berhenti dalam perjalanan menaiki kereta untuk pulang ke Sauk daripada Kuala Kangsar.

Oleh kerana mengantuk, aku berhenti rehat di tepi jalan. Tiba-tiba datang seorang tua yang berpakaian agak comot lalu menegur aku.

“Anak nak ke mana?”
Aku menjawab ringkas, “Sauk, pakcik.”

Orang tua tu bertanya lagi, “Boleh pakcik tumpang sampai ke simpang Kampung Seterus?”
Aku menjawab, “Ehmm…bolehlah.”

Lantas orang tua itu pun masuk dan duduk dalam kereta aku.

Dalam hati aku berkata, “Siapalah orang tua ni, orang ke atau….” Seram gak bila tengok pakcik tu membisu aja.

Aku pun meneruskan perjalanan.

Sebaik melewati Kampung Chuar, orang tua tadi bertanya.

“Anak nak kaya tak?”

Aku tersentak dan berkata dalam hati, “Dah buat dah orang tua ni. Nak bagi aku kaya pulak.” Dia nak bagi aku nombor kot, atau nak menguji aku.

Aku pun menjawab, “Tak palah pakcik, hidup sederhana pun cukup. Kalau kaya nanti lupa diri pulak.”

Orang tua tu diam sahaja. Dalam hati aku berkata mungkin jawapan aku adalah terbaik. Manalah tau tawaran tu merupakan ujian beliau kepadaku.

Tak lama selepas tu orang tua tu bertanya lagi, “Anak nak kaya tak?”

Aku jawab serupa tadi, “Takpalah pakcik, saya lebih senang hidup sederhana.”

Pabila sampai di simpang Kampung Seterus, orang tua tu minta untuk diturunkan.

“Tu nak, pakcik ada tinggalkan satu tin KAYA cap Yeo’s untuk anak sebagai tanda terima kasih kerana bagi pakcik tumpang. Roti anak kena beli sendirilah.”

“Terima kasih ya nak,” kemudian beliau turun dari kereta dan berlalu pergi.

Begitulah ceritanya.

Saya sengaja bawakan cerita di atas untuk kita memikirkan atau meneliti bagaimana cara kita berfikir.

Ketika membaca cerita tadi, sebelum sampai di penghujung, anda fikir siapakah orang tua tersebut? Apa yang terbit di fikiran anda?

Jelmaan jin? Hantu? Orang kurang siuman? Orang misteri? Menyeramkan?

Mengapa agaknya terfikir begitu?

Begitulah kebiasaan kita berfikir. Kita membuat penilaian mengenai sesuatu atau seseorang berasaskan maklumat, atau pandangan, yang tersimpan di dalam minda kita mengenai perkara atau orang tersebut.

Apa pandangan umum tentang ibu mertua (kejam), janda (gedik), andartu (tak laku), bos wanita (garang), politik (kotor), dll?

Apabila kita berhadapan dengan ibu mertua, sebagai contoh, kita akan berkelakuan atau bertindak dengan cara tertentu, yang sepatutnya bila berhadapan dengan seorang yang kejam (bagi melindungi diri kita dari kecelakaan), walau pun ibu mertua kita sebenarnya bukannya seorang yang kejam.

Ini yang dikenali sebagai “Berfikir cara biasa”.

Fikir-fikirkan. Apa-apa data atau maklumat yang tersimpan di CPU (otak) kita tentang sesuatu perkara atau seseorang akan mempengaruhi fikiran kita apabila kita berhadapan dengan perkara atau orang yang serupa (tidak semestinya sama). Anda mungkin pernah mengalami, membaca, mendengar atau menonton cerita tentangnya. Ianya akan dirakam di dalam CPU anda sebagai “fakta”. Fakta ini akan diekstrak dan dipancarkan ke fikiran anda apabila anda berhadapan dengan perkara atau orang yang serupa di suatu masa hadapan. Pancaran tersebut akan mempengaruhi tingkah laku, perhitungan, keputusan dan tindakan yang bakal anda ambil.

Itulah yang berlaku dalam cerita di atas. Bila orang tua itu bertanya sama ada hendak kaya atau tidak, terpancar di fikiran si pemandu yang orang tua tersebut ingin menipu atau menjadikan beliau mangsa, dan tindakan spontan (psikologi) yang diambil adalah melindungi diri dari sebarang bahaya. Pandangan tersebut mungkin diperolehi daripada cerita yang beliau pernah baca, dengar atau tonton tentang orang tua sedemikian.

dengar lihat lisanJusteru berhati-hati dengan ucapan kita, penglihatan dan pendengaran kita. Ucapkan perkara yang baik sahaja agar CPU lain yang mendengar akan merakam perkara yang baik sahaja. Jaga apa yang didengar atau dilihat kerana ia akan disimpan di dalam CPU kita, peyimpanan yang tidak akan terpadam dengan sendirinya. Baik maklumat yang disimpan, InsyaAllah baiklah tingkah laku dan akhlak kita.

Nabi Muhammad S.A.W mengingatkan kita supaya bercakap perkara yang baik sahaja, jika tiada yang baik nak diucapkan, lebih baik diam (HR Muslim).

Firman Allah Ta’ala yang maksudnya:

Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati kesemuanya akan dipersoalkan (tentang peranan masing-masing). [Al-Baqarah, Ayat 235]

Fikir-fikirkan. Wallahua’lam.