Biarkan Berlalu Pergi

redha dengan ketentuan motivasi islamBeberapa tahun yang lepas saya belajar beberapa teknik untuk menangani keadaan sukar, keadaan yang menganggu emosi, yang dihadapi di dalam hidup ini. Saya ingin kongsi satu daripada teknik tersebut dengan anda. Ianya sangat berkesan dan boleh menyebabkan perubahan besar dalam cara anda menghadapai sesuatu keadaan yang mencabar emosi. Teknik tersebut dipanggil Fast Forward Technique (Teknik Pantas Ke Hadapan). Jika anda berada di dalam situasi yang melibatkan emosi yang kuat (takut, marah, sedih, iri hati, dll), luncur minda anda satu tahun, dua tahun, dan seterusnya ke hadapan dari sekarang, ketika masih mengharungi perasaan yang sedang dialami, dan lihat apa perasaan anda pada masa tersebut.

Sangat menakjubkan, walaupun mudah, teknik pantas ke hadapan ini dapat mengubah sudut pandangan atau perspektif kita; kita akan menyedari bahawa perkara yang kita anggap penting rupanya remeh, dan perkara yang kita anggap remeh menjadi penting. Teknik ini membuat kita mampu mengurus emosi diri atau mendapat apa yang kita kehendaki.

Berikut saya berikan dua contoh:

1. Perasaan Sangat Malu

Anda merasa gementar disebabkan anda akan menghadiri mesyuarat atau pembentangan yang sangat penting dalam karier anda, yang akan menentukan masa depan anda. Semasa mesyuarat atau pembentangan, anda membuat kesilapan besar yang sangat memalukan. Rasanya tak tau kat mana nak letak muka ni. Gunakan teknik pantas ke hadapan dan lihat apa yang anda rasa. Anda akan sedar bahawa orang akan lupa pada peristiwa tersebut, anda meneruskan hidup anda kemungkinan dengan hidup yang lebih baik. Luncur ke akhirat, anda akan sedar bahawa mesyuarat atau persembahan tadi tidak penting, yang lebih penting adalah iman dan akhlak anda sebagai orang Islam. Kemungkinan anda tertinggal solat atau lewat solat disebabkan persediaan yang perlu dibuat untuk mesyuarat atau persembahan tersebut, dan anda sepatutnya merasa sedih kerana mengabaikan perkara yang akan dibawa ke akhirat demi untuk perkara dunia yang sementara ini.

2. Rasa Terlalu Sedih

Anda kehilangan orang yang paling rapat atau yang anda sangat sayangi, mungkin seorang ahli keluarga, pasangan atau sahabat karib. Dunia seakan gelap di hadapan anda dan anda ingin mengikutnya ke alam barzakh. Menyedari bahawa hidup ini perlu diteruskan dan pada hakikatnya anda juga akan mati suatu hari nanti – gunakan teknik pantas ke hadapan. Luncur ke hari akhirat dan anda lihat orang yang anda sayangi mungkin memerlukan beberapa amalan baik untuk memasuki Jannah. Kembali ke masa kini dan anda menyedari yang anda boleh membantu mereka dengan melaksana amal kebajikan bagi pihak mereka seperti memberi sedekah dan wakaf, berdoa untuk mereka, menyebarkan ilmu yang mereka hasilkan, atau mengerjakan umrah atau haji untuk mereka. Contoh lain, katakan seorang ibu sedang bersedih kerana kematian anak yang masih kecil, yang tak berdosa (belum baligh) – gerak pantas ke hari akhirat; anak ini sedang menunggu ibunya di pintu syurga untuk memberi syafaat agar si ibu dapat bersamanya di syurga.

Teknik pantas ke hadapan ini boleh juga digunakan dalam berbagai situasi lain seperti untuk perniagaan, matlamat peribadi, melaksana projek, membuat jualan dsb. Insya Allah nanti saya akan kongsikan lagi. Kecantikan teknik ini adalah ia dapat mengawal rasa gembira yang kadang-kadang membuat kita lupa diri, dan mengangkat diri kita apabila kita sedang melalui masa sedih.