Bina Jambatan Antara Kerja Dengan Kerohanian

Ramai di antara kita, oleh kerana terlalu sibuk dengan kerja, tidak mempunyai masa untuk membangun diri dari aspek kerohanian. Kita tidak punya masa untuk ke masjid, surau atau ke majlis ilmu untuk pengisian rohani. Bila diajak jawapan yang biasa diberi adalah, “Saya nak pergi, tapi banyak kerja yang nak dibuat.”

Jika anda tergolong dalam golongan yang selalu sibuk dengan kerja, pertimbangkan cadangan berikut:

Runtuhkan tembok yang memisahkan kerja dengan amalan agama anda. Bina jambatan di antara kerja anda dengan kerohanian anda; iaitu dengan menyemai teras atau nilai baik diri anda dan kepercayaan anda agar ianya menjadi sebahagian daripada budaya kerja anda. Jika anda yakin dengan nilai Islam seperti baik hati, sabar, jujur, murah hati dan sebagainya, usaha sedaya upaya untuk menerapkan nilai tersebut di dalam pekerjaan anda.

buat baik sedekahAnda layani orang ramai, pelanggan, rakan sekerja, bos atau sesiapa saja, yang berurusan dengan anda, dengan baik dan rasa hormat. Jika ada yang membuat kesilapan, bersabar dengan mereka. Jika perlu cuba untuk fahami masalah mereka atau empati. Jika anda perlu menegur mereka di atas kesilapan yang dilakukan, jangan maki hamun. Tegur dengan perasaan kasih sayang dan rasa hormat. Bermurah hati dengan idea atau tunjuk ajar, kasih sayang, masa dan malah wang ringgit.

Tempat kerja adalah sebaik-baik persekitaran untuk anda membina kerohanian anda. Satu lagi persekitaran adalah jalan raya. Anda mempunyai banyak peluang untuk melatih diri bersabar dan memaafkan. Anda juga boleh melatih diri agar tidak defensif dan menjadi pendengar yang baik. Apabila kita defensif, kita tidak dapat menangkap perkara yang nak disampaikan kepada kita. Kita kehilangan peluang untuk membuat penambahbaikan.

Sebenarnya anda boleh mempraktikkan nilai murni dalam apa sahaja urusan harian anda. Antaranya anda boleh tunjukkan rasa ihsan bila berdepan dengan mereka yang yang bersifat kasar atau susah untuk dibawa berbincang; Bersikap adil dan tidak bersikap prejudis dalam menyelesaikan konflik; Pentingkan etika daripada keuntungan dunia.

Ada sesuatu yang menenangkan apabila kita membina jambatan kerohanian. Ia mengingatkan kita kepada tujuan kita dilahirkan ke dunia ini, iaitu menjadi khalifah di bumi Allah dan berusaha mendapat keredhaan-Nya. Ini akan meletakkan masalah dan kebimbangan yang dihadapi dalam konteks yang lebih luas, yang akan membantu kita menangani cabaran dengan penuh ketenangan dan keyakinan. Walaupun anda terpaksa membuat keputusan yang “menyusahkan”, anda tahu anda melakukan dengan tidak mengabaikan sifat kemanusiaan. Ini bukan bermakna cabaran yang dihadapi akan menjadi senang, cuma lebih mudah untuk diuruskan.

Apabila anda membina jambatan antara kerja dengan kerohanian, perkara yang selama ini membuat anda jadi “gila” tidak lagi penting atau bermakna. Anda akan mampu menghadapinya dengan tenang, maju ke hadapan dan kekal fokus kepada tujuan hidup. Dengan kata lain, penerapan nilai-nilai murni di tempat kerja, atau dalam kehidupan seharian, akan menjadikan anda lebih berjaya daripada apa yang anda kecapi sekarang.

Ingatan untuk diri saya sendiri dan semua yang membaca, jangan tunggu pencen barulah nak buat amal kebajikan.

Wallahua’lam.