Cara Untuk Mendiamkan Suara Halus

Minggu lepas saya bercerita tentang “suara halus” di dalam minda kita, yang sering kali mensabotaj kita dalam melaksana usaha untuk menjalani kehidupan sebaik mungkin. Adakah anda sedar tentang kehadiran “suara halus” yang saya maksudkan?

Saya rasa ramai suami yang tak tahan dengan leteran isteri. Agaknya apa suara yang didengar oleh si suami?

“Balik-balik benda tu, tak ada lain ke yang nak cakap.”
“Hai, tak habis-habis orang tua ni. Bilalah nak berubah?”
“Kalau hari-hari macam ni, boleh mental aku.”

Itulah antara bisikan di dalam minda kita apabila kita berhadapan dengan sesuatu situasi. Suara ini tidak pernah diam dan ia selalunya berjaya mempengaruhi keputusan atau tindakan kita. Bila kita tidak bercakap, suara halus ini semakin bising. Saya dapati saya merasa kurang senang apabila bersama seseorang tanpa berkata apa-apa. Jika saya atau dia tidak berkata apa-apa, suara itu akan bising. Bising menilai orang itu, bising memikirkan apa yang dia fikirkan atau apa yang dia fikirkan tentang saya, dan sebagainya.

“Kenapa dia pandang saya macam tu, apa yang tak kena?”
“Saya fikir dia ni tidak boleh dipercayai.”
“Kenapa dia diam saja?”
“Apa pandangan dia tentang saya?”

suara halusAda juga yang merujuk suara halus ini sebagai fikiran negatif kerana apa yang terbit darinya selalunya bersifat negatif. Justeru kita digalakkan untuk berfikiran positif. Masalahnya fikiran negatif ini selalu mendatangi kita, juteru apa yang perlu dibuat? Jangan beri perhatian kepadanya. Secara tak langsung ia akan “kurang aktif” lantas menjadikan anda kurang memberi reaksi kepada “masalah” hidup dan ia akan membuat anda merasa tenang.

Saya lakukan latihan berikut bersama isteri sebagai cara untuk mendiamkan suara halus:

Kami melihat ke dalam mata masing-masing tanpa bercakap sepatah pun. Mula-mula kami merasa kekok, suara halus sungguh bising dan kami mendapati kami melakukan sesuatu (seperti menggaru) untuk menutup rasa kurang selesa. Lama kelamaan ianya menjadi lebih mudah. Kini kami berasa selesa apabila duduk bersama-sama tanpa mengucapkan apa-apa, suara halus juga turut diam. Dengan “kesunyian” ini terbitlah ruang yang luas, ruang yang kami boleh isi dengan apa saja yang kami ingini. Dari situ terlahir satu anjakan dalam perhubungan kami. Perhubungan yang didominasi oleh suara halus sangat mudah untuk diselubungi masalah dan konflik.

Jangan lupa untuk selalu berdoa kepada Allah agar Dia melindungi kita dari syaitan yang selalu membisikkan kejahatan ke dalam dada kita.

Jumpa lagi. InsyaAllah.