Dengan Kecerahan Pagi


kebahagiaan hidup
Dengan kecerahan pagi, anda mendapat peluang untuk memulakan yang baru

Banyak dugaan yang kutempuhi di sepanjang hidup ini. Masalah kerja, masalah kewangan, masalah dengan pasangan dan masalah dengan anak-anak. Ibu dan ayahku berpisah semasa aku masih kecil, dan aku dibesarkan oleh ayah dan ibu tiri. Lazimnya, kata orang, aku seharusnya mempunyai masalah berkaitan dengan perceraian ibu bapa. Namun aku tidak merasa terbeban dengan masalah yang dimaksudkan. Mungkin ketika itu aku tidak sedar yang aku mempunyai masalah. Ada ketika terasa bagaikan tak tertanggung lagi beban yang sedang kupikul. Di mana tempat untuk mengadu? Apakah tiada kebahagiaan untukku? Kadang-kadang terfikir adakah Allah telah melupakanku?

Matahari mulai menyinar, permulaan kepada kehidupan yang baru. Syukur kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk belajar dari pengalaman semalam. Satu anugerah yang lebih besar dari ujian yang ditempuhi. Dengan terbitnya mentari, satu bab baru bermula. Semalam telah berlalu dengan datangnya malam, malam yang gelap dan yang menutupi segalanya. Malam yang membekalkan tenaga dan semangat untuk memulakan hari baru. Segala sesuatu dalam hidup bukanlah malapetaka dan kesedihan – kita hanya perlu menerbitkan kebahagiaan yang diingini. Allah tidak akan menguji seseorang lebih daripada apa yang mampu ditanggung olehnya. Berbekalkan keyakinan ini, kutempuhi cabaran hidup di saat dan ketika itu. Apa yang bakal berlaku selepas itu tiada siapa yang tahu kecuali Allah. Allah yang menentukan segalanya. Justeru tiada apa yang perlu dirisaukan, Allah tahu apa yang lebih baik untuk seseorang itu. Kita sebagai hamba hendaklah berserah kepada-Nya. Jika diimbas kembali sejarah hidup kita, tentu kita akan ingat yang pada suatu ketika dulu kita pernah jatuh sakit atau merasa kesunyiaan dan terasa seolah-olah tiada siapa peduli tentang kita. Kepada siapa kita berharap? Sedar tak kita yang Allah itu sentiasa dekat dengan kita dan kita hanya perlu berdoa dan Allah akan perkenankan.

Bila direnung kembali cabaran yang kuhadapi, ia adalah lebih ringan dari bebanan yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Aku masih mempunyai ayah dan ibu walaupun mereka telah berpisah, masih ada tempat untuk mengadu dan meminta nasihat. Orang lain ibu bapanya telah lama pergi. Lihat anak-anak yatim, mereka tiada ibu dan ayah untuk menumpang kasih sayang. Lihat para gelendangan, mereka tiada bumbung untuk berteduh dan tiada makanan untuk dimakan. Lihat mereka yang terlantar di hospital. Jadi siapalah kita untuk mengatakan hidup kita sukar? Allah memberi kita makanan, tempat berteduh, pasangan, anak-anak, kesihatan, dan banyak lagi nikmat lain. Adakah kita bersyukur dengan anugerah tersebut? Bersyukurlah dan Allah akan memberi lebih banyak lagi.

Nasihat Ustaz, “Jika ingin keluar dari masalah dan mendapat kebahagiaan, bantulah anak-anak yatim dan orang miskin serta orang yang memerlukan. Senyuman di wajah mereka akan menerbitkan senyum di wajah anda.”