Hidup Ini Adalah Ujian

Hidup ini ujian dan hanyalah ujian. Saya yakin dan percaya setiap dari kita telah dan akan melalui ujian hidup. Kita tak boleh lari darinya kerana kehidupan ini sendiri adalah ujian.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.“ (Surah Al-Anbiya’, Ayat 35)

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surah Al-Ankabuut, Ayat 2).

Hidup-Itu-UjianTelah banyak ujian hidup yang saya hadapi, ada yang besar dan ada yang kecil. Saya masih ingat ketika pertama kali diberi ujian yang besar, terasa amat berat hidup ini, tak tertanggung rasanya. Apabila saya melihat kembali ujian tersebut, walaupun perit tetapi akhirnya saya dapat mengatasinya, saya merasa amat bersyukur. Jika tidak kerana ujian tersebut, saya percaya diri saya tidak seperti sekarang. Disebabkan ujian yang diberikan-Nya saya berusaha untuk memperbaiki dan membangunkan diri. Saya belajar untuk redha dengan ketentuan-Nya dengan sebenar-benar redha. Bersyukur dengan apa yang dimiliki dan menerima kehidupan seadanya.

Bila anda menganggap kehidupan dan pelbagai cabarannya sebagai ujian, anda akan dapat melihat bahawa setiap isu yang dihadapi sebagai peluang untuk memperbaiki dan memajukan diri. Sama ada anda dihujani dengan pelbagai masalah, tanggungjawab dan malah rintangan yang tak dapat diatasi; apabila anda melihatnya sebagai ujian, anda mempunyai peluang untuk berjaya mengatasinya.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” – Al-Insyirah, Ayat 5 & 6.

Sebaliknya jika anda menganggap setiap isu yang dihadapi sebagai satu perjuangan yang perlu dimenangi demi untuk kelangsungan hidup, anda mungkin akan menghadapi kehidupan yang penuh dengan ranjau dan duri. Satu-satunya masa yang anda mungkin akan merasa gembira adalah apabila semuanya berlaku seperti yang anda kehendaki, yang kita semua tahu ianya tidak akan berlaku.

Sebagai ujikaji, cuba aplikasikan idea ini ke atas situasi yang anda terpaksa tempuhi. Mungkin anda mempunyai anak atau pasangan hidup yang banyak memberi masalah, boss yang banyak karenah dan susah nak handle, dll. Lihat sama ada anda boleh mentakrif semula isu yang dihadapi daripada “masalah” kepada “ujian”. Daripada bergelut dengan isu yang dihadapi, cuba lihat jika ada sesuatu yang anda dapat pelajari darinya, atau mendapat manfaat darinya.

Tanya pada diri sendiri, “Kenapa isu ini dalam hidup aku? Agak-agak apa kesudahannya dan apakah yang perlu aku lakukan untuk mengatasinya? Bolehkah aku melihatnya dengan cara yang berbeza? Bolehkah aku melihatnya sebagai satu ujian?”

Cuba gunakan strategi ini dan anda mungkin akan terkejut dengan tindak balas berbeza yang anda berikan. Ingat janji Allah:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada mereka yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami…..” Al-Baqarah, Ayat 286.