Jadi Pendengar Yang Baik

Dulu saya bukan seorang pendengar yang baik. Saya suka memotong cakap orang lain. Belum habis orang tu bercakap, saya dah memberi respons seolah-olah saya tahu apa penghujung kata-katanya. Selalunya respons saya tak begitu tepat. Kini saya dah berjanji kepada diri saya untuk menjadi pendengar yang baik.

Untuk mengetahui bagaimana kebanyakan orang berkomunikasi, kadang-kadang saya mencuri dengar mereka berborak. Nampaknya tiada seorang pun yang benar-benar mendengar antara satu sama lain. Belum habis rakannya bercakap, dia dah mengeluarkan kata-katanya. Kita sepatutnya membiarkan seseorang itu habis bercakap, barulah kita memberi respons. Bila dia sudah habis bercakap, dia dah bersedia untuk mendengar. Jika kita terus bercakap tanpa menunggu dia menghabiskan kata-katanya, ia akan membuat seseorang itu berasa jengkel, terganggu atau marah, dan ianya boleh membawa kepada pertengkaran.

Jika anda bukan pendengar yang baik, jangan risau. Ia bukannya salah anda. Lazimnya kita tidak diajar untuk menjadi pendengar yang baik. Semasa kita kecil, kita diajar untuk bercakap bukan untuk mendengar. Bila di sekolah kita diajar dan digalakkan untuk bercakap, malah kita digalakkan untuk berbahas. Semasa berbahas, adakah kita mendengar hujah pihak lawan atau kita tidak sabar-sabar untuk memberi pendapat kita bagi menentang hujahnya berdasarkan teks atau isi yang kita telah sediakan sebelumnya, iaitu sebelum kita mendengar hujahnya?

Itulah agaknya sebab kenapa kebanyakan daripada kita bukan seorang pendengar yang baik. Jika kita bukan pendengar yang baik, kita akan mudah “bosan” bila mendengar. Kita boleh lihat ramai yang tertidur semasa khutbah Jumaat. Mari kita sama-sama ambil pendirian untuk menjadi pendengar yang baik dengan mengubah cara kita mendengar, daripada “mendengar cara biasa” kepada “mendengar cara berobjektif”.

Apabila mendengar cara biasa, anda biasanya:

  1. Memikirkan apa yang nak dijawab kepada pembicara daripada memberi perhatian kepada apa yang diucapkannya.
  2. Memberi pendapat anda tentang apa yang dibicarakan oleh pembicara tanpa diminta olehnya.
  3. Sudah “tahu” apa yang akan diucapkannya, dan anda selalunya silap.
  4. Menghakimi pendapat pembicara. Jika tidak bersetuju dengan pendapatnya, jangan ubah perbualan menjadi pertengkaran.
  5. Memotong cakap pembicara, sama ada dengan menukar tajuk atau memberi pendapat anda tentang perkara yang dibicarakan.
  6. Terus bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang diucapkan bila diminta, tanpa terlebih dahulu memahami apa yang diucapkannya.

Hayati hadis ini:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” H.R. Bukhari dan Muslim.

Untuk mendengar cara berobjektif, anda perlu:

  1. Pasang niat untuk mendengar dan mendapat pengetahuan tentang perkara yang dibicarakan.
  2. Fokus kepada apa yang diucapkan, hindarkan pendapat sendiri tentang perkara yang dibicarakan dan perasaan anda terhadap pembicara.
  3. Beri peluang kepada pembicara untuk menghabiskan apa yang nak diucapkannya. Komitmen untuk mendengar akan terputus apabila anda memotong cakap pembicara. Kadang-kadang anda rasa anda tahu apa yang nak diucapkannya, tetapi pendapat anda akan berubah apabila dia habis bercakap.
  4. Sabar dan jangan terus bercakap bila pembicara berhenti sekejap. Beri peluang kepadanya untuk benar-benar habis bercakap.
  5. Sediakan kertas untuk mengambil nota jika anda mendengar ceramah. Catatkan apa yang anda faham tentang tajuk yang dibicarakan, dan juga yang tidak difahami untuk mendapat penjelasan. Jangan lupa untuk catatkan ilham yang diperolehi, tentang perkara lain, di atas kertas yang lain, untuk dipanjangkan atau didalami kemudian.
  6. Jauhkan diri daripada membuat pergerakan yang negatif seperti melihat jam, memandang ke arah lain, bermain dengan fon pintar anda, dan sebagainya.
  7. Beri semangat kepada pembicara dengan menganggukkan kepala, senyum (yang merupakan satu sedekah), dan perbuatan yang lain seumpamanya.

nasihat luqman al-hakimIngat pesan Luqman al-Hakim kepada anaknya:

“Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”