Jangan Menyalahkan Orang Lain

Apabila apa yang diharapkan atau diingin tidak dicapai, atau berlaku sesuatu yang tidak diingini; Apa reaksi anda?

Jika anda seperti kebanyakan orang, anda akan menyalahkan orang lain, sesuatu atau keadaan.

Berikut saya paparkan beberapa situasi atau perkara yang kita semua pernah alami:

Barang anda hilang atau anda tidak menjumpai barang yang dicari; Apa reaksi anda? Siapalah yang ambil atau siapa yang ubah tempatnya.

Kereta rosak lagi, pada hal semalam baru dibaiki; Apa reaksi anda? Pandaikah mekanik tu baiki kereta.

Bajet lari lagi: Apa reaksi anda? Suami, isteri atau anak-anak tidak tahu berjimat.

Rumah bersepah: Apa reaksi anda? Saya seorang je yang kemas, yang lain tahu sepah je.

Jangan-Menyalahkan-Orang-LainMenyalahkan orang lain, situasi atau keadaan sudah menjadi seperti budaya dalam masyarakat kita. Jika kita menyalahkan orang lain, ia akan membuat kita percaya bahawa kita tidak bertanggungjawab ke atas tindakan kita sendiri, masalah atau kebahagian hidup kita. Memanglah ada ketika orang lain, keadaan atau situasi membuat atau menyebabkan masalah kepada kita, tetapi kita harus bangun menghadapinya dan mengambil 100% tanggungjawab ke atas kegembiraan diri sendiri.

Bila anda hendak menyalahkan yang lain, fikir sejenak, “Sudahkah aku lakukan yang terbaik. Ada sesuatu yang belum kelakukan?” Menyalahkan orang lain akan membebankan jiwa dan fikiran kita, ia akan menyebabkan tekanan perasaan. Menyalahkan yang lain juga membuat kita merasa tiada daya dan kawalan ke atas kehidupan dan kebahagian diri sendiri . Kita telah menyerahkannya kepada orang lain, keadaan atau situasi.

Perhatikan apa yang berlaku apabila anda berhenti menyalahkan orang lain, keadaan atau situasi untuk apa-apa masalah dalam kehidupan anda. Mengambil tanggungjawab bukan bermakna menanggung kesalahan orang lain. Mengambil tanggungjawab bermakna anda memberi komitmen untuk mencapai apa sasaran atau apa yang diingini.

Apabila anda berhenti menyalahkan orang lain, anda akan mendapatkan semula kekuatan diri. Anda kini yang mengawal kehidupan anda justeru akan merasa tenang. Mungkin bukan senang untuk melakukannya. Namun dengan keinginan, komitmen dan sedikit latihan, anda boleh melakukannya, anda akan dapat mengambil 100% tanggungjawab ke atas ketenangan dan kebahagian diri sendiri.

Bila rumah bersepah; daripada merasakan anda seorang sahaja yang mengemas, kemaskan sahaja.

Bila bajet lari; fikirkan di mana anda boleh berjimat.

Ingat, jika anda tidak merasa gembira, anda yang membenarkan ia berlaku. Buat bahagian anda dan buat yang terbaik. Jika ekspektasi atau harapan tidak dicapai, anda telah membuat yang terbaik cuma Allah belum mengizinkannya. Anda akan redha kerana anda tahu anda telah berusaha sedaya upaya. Banyak-banyak berdoa memohon rahmatNya.