Lima Tips Untuk Tidur Yang Merehatkan

Anda bangun dari tidur di awal pagi tetapi tidak merasa segar. Adakah anda akan mempunyai motivasi untuk menjalani kehidupan pada hari itu?

tidur-sunnahPakar berkata kita perlu tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam untuk mendapat cukup rehat bagi memulihkan fungsi badan dan mengumpul kekuatan baru. Tidur memainkan peranan penting dalam kesihatan yang baik di sepanjang hidup seseorang. Mendapatkan tidur yang merehatkan membantu menjaga kesihatan mental dan juga kesihatan fizikal, yang menyumbang kepada motivasi diri.

Namun begitu tidur lapan jam setiap malam belum tentu dapat membuatkan seseorang mendapat rehat yang diperlukan. Tidur yang memerlukan seseorang memakan ubat tidur hampir pasti tidak akan membuat orang tersebut mendapat rehat.

Saintis Barat mengemukakan empat teori mengapa kita perlu menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan kita untuk tidur. Namun begitu teori tersebut belum dapat dibuktikan. Bagi orang Islam atau mereka yang membaca Al-Quran, jawapannya sudah jelas. Allah berfirman dalam Surah An-Naba Ayat 9 yang bermaksud:

“dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat.”

Istirehat yang diperolehi dari tidur adalah nikmat dari Allah! Untuk mendapat yang terbaik dari tidur, kita perlu melakukan amal bagi mendapat keredhaan-Nya. Tanpa keredhaan Allah, tidur kita tidak akan memberi istirehat kepada kita. Sebagai analogi, anak yang selalu ingkar cakap ibu bapanya, tidak akan beroleh hadiah atau pemberian istimewa daripada mereka.

Berikut diberikan lima amalan yang orang Islam boleh amalkan untuk mendapat tidur yang merehatkan, yang akan menjadi sumber motivasi diri:

  1. Baca Al-Quran – Jangan tidur selagi anda tidak baca Al-Quran. Orang Islam diajar untuk baca sekurang-kurangnya tiga Qul sebelum tidur. Al-Quran adalah penerang, teman kita di waktu gelap (liku-liku hidup, tidur dan dalam kubur).
  2. Selawat & salam kepada Nabi Muhammad SAW  – Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad dan Dia menyuruh kita berselawat ke atas baginda. Justeru kita perlu selawat ke atas baginda bagi mendapat keredhaan-Nya.
  3. Mendoakan ibu bapa – Redha Allah hanya akan diperolehi jika ibu bapa kita redha ke atas kita justeru doakan untuk ibu bapa.
  4. Maafkan semua orang – Maafkan semua tidak kira orang Islam atau bukan Islam. Allah tidak akan maafkan kita sehingga orang lain memaafkan kesalahan kita. Kita memang dari kategori orang yang malu nak minta maaf. Suami isteri atau ahli keluarga hanya minta maaf sekali setahun sahaja, iaitu ketika Hari Raya Idil Fitri. Minta maaf pun cakap “kosong kosong”, tak beritahu apa kesalahan yang dilakukan. Justeru maafkan orang lain dengan harapan mereka maafkan kita.
  5. Membaharukan Syahadah – Kita perlu memperbaharukan syahadah untuk memperingatkan diri yang kita adalah orang Islam, Islam bermakna menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya untuk mendapat keselamatan dan kesejahteraan.

Sebagai penutup; Untuk menjadikan tidur anda sebagai sumber untuk motivasi, Islam mengajar kita mengamalkan lima perkara sebelum tidur iaitu membaca ayat Al-Quran, selawat & salam kepada Rasulullah, doa untuk ibu bapa, maafkan semua orang, dan memperbaharui shahadah.