Mencari Ketenangan dan Kebahagiaan Hidup?

Jika anda inginkan kehidupan yang tenang, bahagia dan selalu merasa cukup dengan apa yang dimiliki, pupuk sifat pemurah dengan banyakkan amalan memberi sedekah.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 262 yang bermaksud:

“Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang belanjakan itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Nah sudah jelas bagi kita, jika nak tenang dan bahagia, kita perlu bersedekah atau membelanjakan harta kita di jalan Allah. Jadi apa yang menghalang anda untuk bersedekah? Anda tidak mahu merasa tenang dan gembira selalu?

Saya tak tahu bagaimana dengan suadara/ri pembaca sekalian, tetapi saya dahulu selalu merasa berat untuk memberi derma atau bersedekah. Jika ada orang meminta derma/sedekah, sama ada di rumah atau pejabat, saya cuba mengelak. Kalau tak sempat mengelak, saya berilah sedikit, paling banyak RM1. Beri pun bukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah, tetapi untuk melepaskan diri.

Penghalang terbesar untuk memberi sedekah adalah kebimbangan, bimbang bahawa jika saya bersedekah saya tidak akan mempunyai cukup untuk ini dan itu. Dari mana datangnya perasaan atau kepercayaan ini? Ia datang dari minda atau kepercayaan bahawa wang ringgit atau kekayaan adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehi. Orang kaya pun tak terkecuali, ramai juga di antara mereka yang merasa harta itu susah untuk diperolehi justeru mereka merasa berat untuk menginfakkan harta mereka di jalan Allah.

Tidak yakinkah kita dengan janji Allah, yang Dia akan melipat gandakan ganjaran kepada orang yang bersedekah?

sedekah hidup bahagia tenang“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Untuk memudahkan kita bersedekah, kita perlu anjakkan minda kita dari kekurangan kepada melimpah ruah. Kurnia Allah sangatlah luas, Dia akan mengurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Yakinlah dengan janji Allah, Dia tidak pernah memungkiri janjiNya. Kita hanya perlu bersedekah dan bertawakkal.

“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya…” – Surah At-Talaq, Ayat 3.

Jika tidak punyai wang yang banyak, bersedekahlah sekadar apa yang ada. Bersedekah tidak terhad kepada wang ringgit sahaja. Apa-apa yang kita lakukan untuk kebaikan orang lain adalah sedekah. Sabda Nabi Muhammah s.a.w:

“Engkau membuang duri di jalan yang menghalang manusia, itu adalah sedekah untukmu.” HR Al-Bukhari.

Cuba tanya pada diri sendiri jika anda terjumpa sampah di atas jalan, taman atau di laluan pejalan kaki; adakah anda akan mengutipnya dan membuang ke dalam tong sampah?

Tindakan mengutip sampah dan membuangnya ke tempat membuang sampah, walaupun kecil, merupakan peluang untuk anda bersedekah dan anda akan merasa gembira kerana dapat berbuat baik atau menolong orang lain. Banyak lagi sedekah, yang tidak melibatkan wang ringgit, yang boleh diamalkan seperti memberi tempat duduk di dalam kenderaan awam kepada yang lebih memerlukan, membuka pintu atau memberi laluan untuk orang lain, melawat orang sakit dan sebagainya.

Cuba fikir-fikirkan, kenapa tidak susah untuk kita bersedekah atau berbuat baik di bulan Ramadhan. Bagaimana keadaan hati dan jiwa kita semasa bulan Ramadhan? Kita melakukan amal soleh di bulan Ramadhan demi mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah serta balasan pahala yang berlipat ganda. Mengapa tidak kita lanjutkannya ke bulan-bulan berikutnya demi untuk ketenangan dan kebahagiaan hidup kita. Pilihan terletak pada tangan kita, hendak hidup tenang dan bahagia atau kehidupan yang penuh keluh kesah dan dukacita. Buatlah pilihan yang bijak.