Mengejar Kebahagiaan

Adakah ini yang dikatakan mengejar kebahagiaan?

“Saya akan bahagia bila dah dapat masuk universiti.”

Apabila dah masuk universiti, “Saya akan bahagia bila dah jadi graduan”.

Bila dah jadi graduan, “Saya akan bahagia bila dah bekerja”.

Bila dah kerja, “Saya akan bahagia bila dah berumah tangga”.

Bila dah berumah tangga, “Saya akan bahagia bila dah dapat cahaya mata”.

Bila dah dapat cahaya mata, “Saya akan bahagia bila anak dah masuk universiti”.

Dan seterusnya….”Saya akan bahagia bila dah dapat cucu”, “cucu masuk universiti” dan kitaran seterusnya sehingga kita meninggalkan dunia ini.

mencari mengejar kebahagiaanKebanyakan dari kita tidak menikmati kehidupan yang kita miliki sekarang. Kita sibuk berusaha untuk mengejar kebahagiaan yang kita yakini akan kita miliki satu masa nanti. Kita meletakkan beberapa syarat untuk merasa bahagia, selalunya berkaitan dengan kebendaan atau keduniaan, seperti duit, harta, kuasa, anak pinak dan sebagainya. Kita tidak merasa bahagia sehingga kita mencapai apa yang diimpikan. Apabila yang diimpikan telah dicapai, kita mempunyai impian yang lain pula, yang membuat kebahagiaan kita tertangguh.

Kenapa perlu menangguhkan kebahagiaan sedangkan ianya boleh dikecapi sekarang?

Apakah dia kebahagiaan sebenarnya? Ahli falsafah mengakui bahawa kebahagiaan boleh dipengaruhi oleh faktor kebendaan, kedudukan dalam masyarakat, dan malah rupa paras kita. Namun mereka menegaskan bahawa menjalani kehidupan kita dengan sepenuhnya mengikut sifat penting kita sebagai makhluk rasional, kita akan merasa bahagia tidak kira apa keadaan kita. Oleh itu kebahagiaan bergantung kepada tingkah laku, tabiat atau minda, bukan kebendaan.

Orang kaya secara logiknya mesti bahagia kehidupannya, tetapi ianya tidak begitu. Ramai orang kaya yang tidak bahagia hidupnya. Begitu juga orang miskin secara logik tidak bahagia. Namun begitu kita dapati ramai orang miskin yang hidup bahagia. Orang kaya ke, orang miskin ke, tidak kira siapa, kita boleh memilih untuk merasa bahagia atau tidak.

Kita merasa tidak bahagia kerana tidak dapat menerima perbezaan antara yang diingini dengan yang dimiliki. Jika kita dapat menerima perbezaan tersebut, atau dengan kata lain bersyukur dengan apa yang dimiliki, kita segera merasa bahagia. Ini bukan bermakna kita berhenti berusaha untuk memiliki apa yang diingini.

Disebabkan pergantungan kepada kebendaan, membuat kita terlupa kepada apa yang dimiliki sekarang, yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita, yang sememangnya sudah sempurna, sudah cukup dan lengkap untuk kita merasa bahagia pada saat ini.

Tidak bahagiakah kita dengan kesihatan yang kita miliki? Bagi yang kurang sihat, tidak bahagiakah dengan kekuatan yang kita milikiĀ untuk menghadapi ujian tersebut? Deritakah kita bila ditinggalkan kekasih? Tidak terlintaskah di fikiran yang ianya lebih baik untuk kita? Setiap segala yang berlaku telah ditentukan oleh Allah dan Dia sebaik-baik perancang. Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap makhluk.

Untuk ingatan bersama, apabila kita bersyukur, Allah akan menambahkan nikmat-Nya kepada kita, Firman Allah dalam Surah Ibrahim, Ayat 7:

Surah Ibrahim, Ayat 7

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.

Kebahagiaan tidak perlu dikejar, ia sudah ada dalam diri kita, yang tinggal cuma untuk kita menzahirkannnya. Semakin bertambah nikmat, semakin bertambahlah kebahagian.

Wallahua’lam.