Produktif Di Bulan Ramadhan

puasa ramadhan produktifAlhamdulillah, syukur kita kepada Allah s.w.t. kerana diberi peluang dan kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan sekali lagi.

Bagaimana dengan Ramadhan pada tahun ini? Adakah anda akan menempuh, mengharungi atau melalui seperti tahun-tahun sebelumnya? Atau anda akan menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik dari sebelumnya?

Terdapat tiga golongan orang yang berpuasa di bulan Ramadhan:

1. Orang yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya, seperti Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Betapa ramai orang yang berpuasa namun dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga.” (HR. At-Thabrani).

2. Orang yang berjaya mengharungi Ramadhan, melakukan yang wajib sahaja dan berharap dapat melakukan lebih dari itu.

3. Orang yang berjaya melakukan ibadah di sepanjang Ramadhan seperti dirancang, tetapi merasa keletihan mengerjakannya.

Tidak kira dalam kategori mana anda tergolong, marilah kita sama-sama menjadikan Ramadhan kita tahun ini lebih baik dari sebelumnya.

Berikut adalah tujuh langkah berkesan untuk membuat Ramadhan kita lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya, Insya Allah.

1. Pasang niat untuk menjadikan Ramadhan ini yang terbaik pernah dilakukan

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu sesuai dengan apa yang diniatkannya.” (HR. Bukhari).

Dalam kehidupan seharian, kita selalu lupa untuk pasang niat bagi setiap amalan yang hendak dilakukan kecuali solat atau puasa. Ramai di antara kita tidak sedar bahawa niat mempunyai impak besar kepada perlakuan kita.

Kenapa kita tidak tahan lapar apabila kita tidak berpuasa? Ya, disebabkan niat! Apabila kita memasang niat ikhlas untuk melakukan amal soleh, Allah akan memudahkannya, Insya Allah.

Jika anda hendak menjadikan Ramadhan ini sebagai Ramadhan yang terbaik, pasang niat untuk menjadikannya yang terbaik pernah dilakukan.

2. Tetapkan sasaran yang jelas dan spesifik

“Saya ingin menjadikan Ramadhan tahun ini Ramadhan yang terbaik saya pernah lalui.”

Walaupun sasaran ini nampaknya seperti satu sasaran yang besar, dan pada dasarnya ia bukanlah satu sasaran yang jelas.

Anda tentu pernah dengar sasaran yang baik mesti “SMART” (Spesifik, boleh diukur, mampu dicapai, realisitik dan ada tempoh).

Contoh sasaran SMART untuk Ramadhan:

i. Baca Quran lima muka surat setiap kali selepas solat.
ii. Tidur sekejap (lebih kurang 15 minit) pada setiap waktu tengahari (agar segar untuk solat terawih).
iii. Menziarahi rumah anak yatim pada setiap hari minggu.

Anda boleh memilih sasaran yang tidak berjaya dicapai tahun lepas. Jika pada tahun lepas anda berjaya ke masjid atau surau untuk solat tarawih pada setiap malam, jadi jangan masukkan sasaran tersebut pada tahun ini. Pilih yang lain, ingat anda ingin menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik dari sebelumnya.

Walau apa pun yang ingin dicapai, ia bukanlah hanya sekadar mencapai sasaran tetapi lebih dari itu, iaitu mendapat keredhaan Allah dan meningkatkan takwa.  Ingatkan diri apa tujuan sebenar kita berpuasa. Ramadhan adalah medan untuk melatih diri agar menjadi insan yang lebih baik, untuk mendapat keredhaan Allah.

3. Sediakan jadual harian dan rancang awal

Setelah menetapkan sasaran yang jelas dan spesifik, anda perlu menetapkan jadual harian atau masa untuk mencapai sasaran tersebut. Ingat, jika tidak dirancang dan dijadualkan pelaksanaannya, ianya tidak akan terlaksana. Menulis sasaran pada sekeping kertas adalah tidak memadai. Dengan menyediakan jadual harian, anda tahu apa yang perlu dilakukan dan bila.

Selain dari itu banyak perkara yang perlu dilakukan di bulan Ramadhan ini. Lauk pauk untuk berbuka dan bersahur, persediaan untuk hari raya dan bermacam-macam lagi. Rancang supaya masa anda digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah. Kadang-kadang saya tertanya kenapa ramai yang tunggu sampai saat akhir untuk membeli-belah bagi menyambut hari raya. Adakah berbaloi bersesak-sesak dan menghabiskan banyak masa dari yang sepatutnya di pusat membeli belah. Rancang untuk lakukan perkara tersebut sebelum Ramadhan atau di awal Ramadhan agar kita mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti yang lebih berfaedah.

Mungkin ada yang berkata saya bukanya orang berduit, setiap ringgit dikira. Yakinlah, jika kita lakukan sesuatu ikhlas kerana Allah dan bertakwa kepadaNya, Dia akan memudahkan urusan kita dan mengurniakan rezeki dari sumber yang tak disangka-sangka.

“Barang sesiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (bagi permasalahan yang menimpa mereka). Dan juga memberikannya rezeki dari arah yang tak disangka-sangka…” (Surah At-Talaq, Ayat 2 – 3.)

4. Jaga pemakanan – jenis makanan dan waktu makan

Keletihan akibat berpuasa merupakan punca utama kenapa ramai yang kurang produktif di bulan Ramadhan. Sebenarnya Ramadhan memberikan kita peluang untuk membuang tabiat makan yang buruk, yang tidak menyihatkan. Makan dengan cara yang betul dan solat pada malam hari akan meningkatkan kesihatan anda secara umum dan akan menyediakan diri anda untuk lebih produktif.

Makanan yang baik semasa berbuka adalah buah-buahan kering seperti kurma dan ara. Ia adalah sumber zat besi, serat dan antioksidan yang sangat baik. Jika anda suka makan makanan manis selepas makan, ambil tiga biji kurma bagi menggantikan kek coklat atau makanan manis lain yang tidak mempunyai zat makanan.

“Bila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan rutab (kurma hampir kering). Jika tiada rutab, hendaklah dia berbuka dengan tamar (kurma kering). Jika tiada tamar, hendaklah dia berbuka dengan air, karena air itu adalah pembersih.” (HR. Imam Ahmad dan Tirmizi.)

Elakkan diri dari terlalu kenyang selepas berbuka sehingga membuat anda susah untuk solat tarawih. Jika kita makan dengan banyak, lebih banyak oksigen diperlukan untuk proses penghadaman. Bekalan oksigen kepada otak menjadi berkurangan justeru membuat kita merasa mengantuk. Begitu juga kalau makan terlalu banyak ketika bersahur. Ia akan membuat anda mengantuk di awal pagi dan akan menjejaskan produktiviti di tempat kerja. Pengambilan suplemen probiotik akan menambah tahap flora bakteria baik dalam usus anda, dan akan membantu dalam pencernaan makanan.

5. Kurangkan gangguan

Tidak dinafikan kita hidup di zaman siber yang penuh dengan gangguan; emel, sms, Whatsapp, Facebook dan gajet lain boleh mengalihkan perhatian kita daripada perkara yang benar-benar penting. Bukan saya mencadangkan anda membuang semua gajet tersebut, ia adalah alat yang hebat. Yang penting adalah kita yang sepatutnya mengawal peranti tersebut, bukan menjadi hamba kepadanya.

6. Luangkan masa untuk memberi khidmat bakti

Ini satu sumbangan besar yang anda boleh berikan. Bagaimana untuk menggunakan bakat, kemahiran atau sumber yang anda miliki untuk membawa perubahan dalam kehidupan orang lain, yang boleh dicapai dengan pelbagai cara.

Anda boleh menyediakan juadah berbuka puasa (yang menyihatkan) dan berikan/sedekahkan kepada jiran atau hantar ke masjid/surau.

“Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa tanpa mengurangi pahala orang yang puasa itu sedikit pun.” (HR. at Tirmidzi.)

Terdapat begitu banyak pilihan yang boleh dilakukan, apa yang perlu anda lakukan adalah bersedia untuk membuat perubahan dan mengambil tindakan.

7. Jadikan membaca Al-Quran sebagai keutamaan

Ini yang terpenting, sengaja saya simpan yang terbaik sebagai penyudah. Kita perlu peruntukkan masa untuk membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran dalam jadual harian kita. Jika sebelum ini kita hanya membaca, tahun ini kita berusaha untuk memahaminya. Terdapat banyak tafsir Al-Quran, seperti Tafsir Al-Azhar, atau kelas tafsir, yang boleh membantu kita memahami ayat Al-Quran. Orang yang selalu membaca Al-Quran akan tenang jiwanya dan jernih fikirannya, kreatif, inovatif dan produktif.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN DAN SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA