Rendahkan Harapan Anda

menaruh-harapanDalam satu mesyuarat pada minggu lepas saya meminta ahli mesyuarat supaya tidak menaruh harapan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Saya tidak mendapat apa-apa tindak balas daripada mereka. Mungkin bagi mereka permintaan tersebut tidak logik. Siapa yang tidak mahu mencapai sasaran yang ditetapkan?

Tidak salah untuk menaruh harapan yang tinggi. Kita semua mahu mempercayai bahawa usaha kita akan menemui kejayaan. Dengan usaha yang keras, kemungkinan sebahagian besar daripada harapan tersebut berjaya dicapai.

Di sebalik itu, apabila anda mengharap terlalu banyak daripada kehidupan ini – apabila kehendak dan keinginan anda terlalu tinggi dan tidak realisitk – anda mendedahkan diri kepada kekecewaan dan kesedihan yang tidak sepatutnya berlaku. Kemungkinan terdapat ahli pasukan, rakan sekerja, atau mereka yang terlibat akan menjauhkan diri dari anda kerana kebanyakan orang tidak mahu dipertanggungjawabkan ke atas sesuatu yang tidak realistik. Anda mengharap peristiwa dalam hidup anda berlaku sebagaimana yang anda impikan dan semua orang berkelakuan seperti yang anda mahu. Apabila ianya tidak berlaku seperti yang anda harapkan, di mana ianya sering berlaku, anda merasa tertekan dan berdukacita.

Saya ada seorang ahli pasukan yang sangat bersemangat dalam melaksana tugasnya. Dia inginkan hasil kerja yang sempurna, tiada cacat celanya. Dia juga berharap ahli pasukan lain sama seperti beliau, inginkan hasil kerja yang tinggi standardnya. Masalahnya kebanyakan daripada harapannya tidak tercapai. Dia tidak dilayan sebagaimana yang dia harapkan, buah fikirannya tidak diambil serius. Dia merasakan dirinya tidak dihargai dan tidak diambil peduli. Dia merasa kecewa dan sedih.

Saranan saya kepada beliau, rendahkan harapan dan jadikan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk perkara yang lebih besar di masa hadapan. Fokus kepada perkara yang lebih penting dalam kerja. Berinteraksi dengan lebih terbuka (iaitu tanpa mengharap ia akan berakhir seperti yang anda mahu) dengan rakan sepasukan yang lain, ketengahkan pendapat dengan tenang tanpa mengharap apa-apa (penerimaan, pujian, dan sebagainya). Beri komitmen untuk mencapai hasil yang terbaik dan lakukan sebaik mungkin. Apa yang orang fikir tidak begitu penting. Apa yang penting adalah impak daripada sumbangan yang anda berikan atau perubahan hasil daripada anda memberi yang terbaik.

Biasanya hanya dengan merendahkan harapan, walau sedikit, boleh membuat hari atau hidup anda lebih tenang. Walaupun apa yang diharapkan tidak berlaku, anda tidak akan merasa kecewa. Masalah timbul apabila apa yang berlaku tidak sama dengan yang diharapkan. Jika harapan direndahkan, sama tahap dengan apa yang dijangka akan berlaku, akan tiada masalah.

Merendahkan harapan bukan bermakna tidak bersikap optimis, atau berfikiran negatif. Saranan saya sekali lagi, rendahkan harapan dan beri komitmen. Beri komitmen untuk mencapai sesuatu sasaran yang telah ditetapkan. Dengan memberi komitmen, anda memberi arahan kepada minda bawah sedar anda untuk mencapai sasaran tersebut. Ia akan mengarah dan mengawal sistem tubuh anda ke arah pencapaian sasaran tersebut. Anda akan terkejut dan bersyukur dengan hasil yang dicapai jika anda memberi komitmen untuk mencapainya. Jika ditakdirkan ianya tidak berjaya dicapai, anda boleh berkata, “Oh, saya telah melakukan yang terbaik,” dan anda tidak akan merasa kecewa disebabkannya.

Ramai orang yang keliru antara pengharapan dengan standard kecemerlangan. Saya bukannya menyarankan anda supaya merendahkan standard kecemerlangan dan menerima prestasi yang rendah. Saya juga bukannya menyarankan anda supaya tidak membuat seseorang bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang diberikan. Anda masih perlu melakukan yang terbaik supaya dapat mencapai sasaran atau impian anda – rancang dengan baik, kerja keras, jadi kreatif, minta bantuan orang lain, jadi ahli pasukan yang baik. Namun begitu, sekuat mana anda berusaha, hidup ini tidak selalu seperti yang kita rancang. Justeru berhenti mengharap ianya menjadi seperti yang anda mahu. Beri ruang dalam hati anda untuk menerima kesilapan, kesalahan, kekalahan dan “short-circuit”. Daripada menghabiskan masa bersedih di atas apa yang berlaku, anda akan dapat menerimanya dengan tenang hati. Jiwa yang tenang akan membuat anda bertenaga untuk meneruskan kehidupan, yang akhirnya akan membuat anda lebih gembira dan produktif.

Ingatlah, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan. Jika kita menaruh harapan terlalu tinggi, kita akan kecewa apabila apa yang diharapkan tidak tercapai. Kita mungkin menyalahkan akan Allah.