Sabar Kunci Kebahagiaan

sabar kunci kejayaanSabar itu kunci kepada kejayaan. Anda akan mendapat anak ayam dengan mengeramkan telor ayam, bukan dengan memecahkannya.

Kita selalu diingatkan bahawa “sabar itu separuh daripada iman.” Apa yang menarik kepada saya tentang bersabar adalah kita selalu diperingatkan tentangnya.

Bila berhadapan dengan sesuatu cabaran atau musibah, kita diingatkan, “bersabarlah.” Orang yang mengingatkan kita supaya bersabar belum tentu boleh bersabar jika dia sendiri yang menghadapi kesukaran.

Secara mudah, dari aspek emosi, sabar bermaksud dapat bertenang dan tidak merasa sakit hati apabila menghadapi masalah atau berhadapan dengan mereka yang bermasalah.

Tetap tenang dan tak merasa sakit hati, hebat bunyinya. Teringat pula satu ketika dulu diri ini menyumpah-nyumpah kepada pemandu yang potong barisan ketika jalan sesak. Kita dah penat-penat beratur, senang-senang dia potong barisan. “Dia ingat jalan ini bapak dia punya ke?”

Hilang kesabaran akan mencacatkan niat baik kita, dan kita selalunya mudah hilang sabar dengan mereka yang penting dalam hidup kita. Seorang cikgu boleh bersabar ketika mengajar anak murid, tetapi hilang kesabaran apabila mengajar anak-anak sendiri. Kita boleh bersabar dengan perangai member baik kita, tetapi akan cepat naik angin bila berbicara dengan pasangan kita. Kenapa ya?

Sabar itu penting dalam kehidupan seharian seseorang. Ia boleh menentukan samada seseorang itu akan gembira atau tidak, dan seterusnya bahagia atau tidak. Dalam kehidupan seharian, kita akan berhadapan dengan berbagai dugaan dan kekecewaan. Di situ peluang kita untuk belajar bersabar. Di rumah apabila berhadapan dengan karenah anak-anak atau pasangan, di pejabat bila berdepan dengan bos yang suka mendesak dan rakan sekerja yang tidak mahu memberi kerjasama, di jalanraya berdepan dengan pemandu yang tidak berhemah, dan di kaunter perkhidmatan terpaksa menunggu lama kerana perkhidmatan tidak cekap. Sikap sabar yang akan membezakan antara kegusaran dengan ketenangan, kebimbangan dengan kedamaian.

Sabar tidak akan tumbuh subur dengan sendiri, ianya perlu dipupuk dan disirami. Berikut adalah tiga cara yang boleh diamalkan untuk menyuburkan sifat sabar dalam diri kita.

  1. Bentuk semula keadaan: Rasa tidak sabar bukannya tindakbalas emosi otomatik. Ia melibat fikiran dan kepercayaan atau tanggapan. Kenapa marah bila mengajar anak sendiri tetapi boleh bersabar bila mengajar anak orang lain? Mungkin kita bertanya kenapa anak kita tak sepandai kita. Rendahkan jangkaan/ekspektasi kita. Kenapa marah bila ada yang datang lewat untuk mesyuarat, kita kadang-kadang pun terlewat juga masuk mesyuarat. Kita marah kerana kita merasakan staf yang masuk lambat tidak menghormati masa orang lain. Kita boleh gunakan 15 minit masa menunggu untuk membaca bahan yang akan dibincangkan dalam mesyuarat. Di kaunter, tukar tanggapan pekerja berkenaan lembab kepada banyak semakan yang perlu mereka buat, dan kita boleh gunakan masa menunggu untuk membaca buku cerita, berita online atau tengok WhatsApp.
  2. Amalkan sikap perihatin: Tarik nafas panjang dan beri perhatian kepada rasa marah anda. Kalau anak susah nak faham apa yang diajar. Berhenti sejenak dan tarik nafas panjang; Tanya pada diri kenapa anda perlu marah. Beri perhatian kepada apa yang terbit di minda. Adakah anda menganggap anak anda seorang yang lembab, sedangkan anda seorang yang cerdas – ini mecabar ego diri, “Berani kau tidak mewarisi kecerdasanku.”
  3. Bersyukur: Dalam satu kajian yang dijalankan, bersyukur akan membuat seseorang bersabar. Jika kita bersyukur, kita tidak akan terdesak untuk mendapat lebih atau keadaan yang lebih baik dengan serta merta. Apabila kita menerima sesuatu seadanya, dan melihat realiti kehidupan di sekeliling kita, kita akan lebih mudah untuk bersyukur. Bagi orang yang bersyukur, Allah berjanji akan menambah nikmat yang dikurniakanNya.

Sebagai seorang manusia, kita tidak boleh lari dari berhadapan dengan kekecewaan dan kesukaran dalam kehidupan seharian. Bersabar bukan hanya menjadikan kehidupan ini lebih menenangkan di saat dan di ketika itu, tetapi ia juga membantu membuka jalan untuk kehidupan yang lebih bahagia dan berjaya di hari mendatang.