Saya Doakan Anda Berjaya

doaSaya doakan para pembaca sekalian berjaya mencapai azam Tahun 2016…

Anda percaya saya akan doakan anda?

Kita biasa dengar ungkapan “saya doakan anda…”, atau ungkapan lain yang serupa, disebut dalam percakapan atau perbualan seharian, tetapi adakah orang yang menyebutnya benar-benar mendoakan atau akan mendoakannya? Selalunya tidak, setuju?

Jika diteliti, kita sebenarnya mendoakan untuk setiap orang Islam pada setiap hari. Selepas solat, kita membaca doa – dalam doa tersebut kita mendoakan kebaikan untuk semua orang Islam, yang masih hidup dan juga yang telah meninggal dunia. Namun begitu kebanyakan daripada kita hanya membaca doa yang telah dihafal (tak faham apa yang didoakan), atau mengaminkan doa yang dibaca oleh orang lain, tanpa benar-benar meminta daripada Allah apa yang didoakan. Hanya sekadar lafaz di mulut sahaja, tetapi tidak di hati – mulut dan hati tidak seiringan.

Apakah implikasi pada motivasi diri dalam jangka masa panjang? Sebagai contoh katakan anda menyebut, “Tahun ini aku berazam untuk turunkan berat badan sebanyak 10 kilogram.” Agak-agaknya adakah anda akan usahakan untuk turunkan berat badan? Kemungkinannya adalah tidak. Ia sama seperti bila diucapkan, “Saya doakan anda…” Anda tidak benar-benar maksudkan apa yang dikatakan kerana sudah terbiasa “hanya sekadar ucapan”. Fikir-fikirkan…

Justeru elakkan dari menyebut kata-kata yang anda tidak maksudkan atau tidak akan lakukan kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada motivasi diri anda.

“Katakan apa yang anda maksudkan, dan maksudkan apa yang anda katakan.”