Ubah Tanggapan Tentang Kemampuan Diri

Hari ni saya akan sambung cerita tentang “Anda fikir anda siapa?” Saya akan kongsikan tiga cara untuk mempertingkatkan pandangan tentang diri sendiri, yang akan mempertingkatkan kualiti diri dalam menjalani kehidupan seharian.

Motivasi Islam1. Anda perlu ambil kisah bila perasaan “Saya tidak cukup bagus” muncul di fikiran: Dalam kata lain beri perhatian bila soalan “Anda fikir anda siapa” menghalang anda daripada mengharungi cabaran hidup ini. Apabila anda sedar akan kehadiran suara halus ini, anda akan dapat mengatasinya kerana anda tahu, sejujurnya, anda adalah sebaik-baik kejadian. Anda tahu musuh kita, syaitan, tidak akan berputus asa untuk menggoda kita agar tidak menjadi sebaik-baik kejadian seperti di Firmankan dalam Surat At-Tin, Ayat 4. Syaitan menggunakan saluran “suara halus” untuk menanam rasa keraguan pada minda setiap dari kita, untuk menghalang kita dari melaksana kebaikan di dunia ini bagi menunai tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini.

2. Tanya dengan lebih mendalam “Anda fikir anda siapa?” Untuk mengetahui siapa diri anda sebenarnya, anda perlu perlu mengenyahkan tanggapan yang berada di permukaan dan bertanya bagaimana anda kaitkan sesuatu yang terjadi dengan diri sendiri; keupayaan, kemampuan dan ciri-ciri diri yang lain. Apa cerita anda? Setiap dari kita mempunyai “cerita” tentang apa yang terjadi. Cerita tersebut berbeza dari seorang ke seorang walaupun perkara yang berlaku adalah sama. Cerita kita tentang sesuatu peristiwa biasanya akan ditambah dengan persepsi kita tentang apa yang terjadi.

Sebagai contoh (tidak ada kena mengena dengan sesiapa): Kekasih anda meninggalkan anda untuk orang lain. Apa cerita anda? Anda kurang cantik atau hensem? Perangai anda kurang baik? Faktanya adalah dia meninggalkan anda, atas sebab dia sendiri, bukan sebab anda. Diri anda adalah sempurna seadanya. Anda adalah sebaik-baik kejadian. Perhatikan dalam masyarakat kita; ada orang yang mempunyai pasangan yang pada kita kurang cantik/hensem. Kita juga pernah dengar, lihat atau tahu ada yang berperangai tidak elok tetapi pasangannya tetap setia. Apa yang berlaku adalah pasangan meninggalkan anda, yang lain (tak cantik/hensem, perangai teruk) adalah cerita anda tentang diri anda berhubung dengan apa yang berlaku. Jika anda dapat memisahkan antara yang berlaku dengan fakta, hidup anda akan sentiasa tenang, Insya Allah.

3. Perbaiki “cerita” tentang diri sendiri: Bagi daerah tertentu dalam kehidupan anda; yang melesukan, yang melemahkan semangat, yang tidak memuaskan dan tidak membahagiakan, dll seumpamanya, pertimbangkan sama ada anda sanggup untuk “perbaiki” sejujur-jujurnya. Pada dasarnya kita perlu ubah pemikiran, perkataan dan perasaan kita dengan tulus. Disebabkan kita suka “mengadakan” cerita, kita cenderung untuk bermatian-matian bagi mempertahankan “kebenaran” cerita kita tanpa menghiraukan kesannya kepada diri sendiri. Justeru agak susah untuk kita mengubah cerita tersebut. Dalam hal ini kita memerlukan sokongan orang yang dipercayai, kita juga memerlukan pandangan dan nasihat daripada orang lain untuk kita maju melangkaui cerita kita. Orang lain akan menjadi cermin yang dapat membantu kita melihat “titik terselindung” dalam mida kita. Kita perlu ingat yang kita mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk perbaiki cerita kita apabila kita sudah bersedia.

Semakin jujur anda dengan cerita tentang diri sendiri, semakin mudah untuk anda mengakui, mengambil tanggungjawab dan akhirnya mengubah cerita anda. Apa yang perlu diingat adalah cerita tersebut adalah tidak benar. Ia hanyalah tafsiran, penghakiman dan kepercayaan kita tentang apa yang berlaku. Kita yang menciptakannya justeru kita beupaya untuk mengubahnya pada bila-bila masa yang kita inginkan.

Siapa diri kita di dalam minda kita adalah aspek asas bagaimana kita menilai diri sendiri. Sama ada kita fikir kita hebat atau biasa biasa je, kita sentiasa betul. Diri kita adalah siapa yang kita fikirkan.

Wallahua’lam.