Ucapkan Pada Seseorang Yang Anda Sayang Dia

ucapkan sayangAgak susah nak tulis untuk tajuk ni kerana kebanyakan orang Melayu (termasuk sayalah tu) jarang meluahkan perasaan, yang boleh dikatakan selalu adalah menunjuk perasaan. Bukan orang Melayu saja kot, bangsa lain pun sama juga. Mungkin orang Perancis terkecuali (Je t’aime).

Agak-agaklah, kalau anda tahu anda hanya ada satu jam lagi di dunia ini, siapalah yang anda akan telefon dan apa yang anda akan cakap padanya?

Saya kira ramai yang akan mengatakan, “Ibu saya dan saya akan ucapkan saya sayang ibu.” Jadi apa yang ditunggu, buatlah panggilan itu dan ucapkan, “Saya sayang ibu.” Kalau kita tak biasa ucapkannya, mungkin agak kekok juga. Takut orang kata “buang tabiat” atau orang akan tertanya-tanya kenapa kita mengucapkannya. Lazimnya begitulah, kita masyarakat Melayu tak diajar untuk menyatakan rasa kasih sayang kita kepada ahli keluarga, tambah-tambah lagi kepada sanak saudara dan sahabat handai.

Jika anda dah mengucapkannya pada hari ini – Bagus, syabas dan syukur Alhamdulillah kerana anda telah mengamalkan ajaran Nabi Muhammad s.a.w:

“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.” (Riwayat Abu Daud)

Jika belum, apa yang ditunggu? Mungkin kita percaya yang kita lambat lagi akan pergi meninggalkan dunia ini. Atau “suatu hari” nanti saya akan memberitahu mereka yang saya sayangkan mereka. Apa pun, kebanyakan dari kita menunggu terlalu lama untuk mengucapkan sayang pada seseorang. Kekadang apabila beliau telah pergi meninggalkan kita barulah kita nak ucapkannya. Pada waktu itu akan berlaku penyesalan, yang mungkin menyebabkan kita tidak merelakan beliau pergi.

Seeloknya kita ucapkan sayang di hadapan orang tersebut, telefon pun boleh juga. Bagaimana jika anda yang menerima ucapan sayang tersebut? Cuba bayangkan perasaan anda.

Jika anda malu untuk berjumpa atau menelefon dan mengucapkan, “Saya telefon ini hanya untuk mengucapkan saya sayang ibu (bapa, adik, awak, dsbg),” anda boleh tulis surat seikhlasnya, macam tulis surat cinta. Whatsapp atau SMS kurang ummmph. Apa pun, anda akan menjadi terbiasa untuk mengucapkannya dan ianya akan menjadi sebahagian daripada amalan hidup anda. Ucapan sayang ini terhad kepada sayang kerana Allah, bukannya kerana nafsu. Bila kita mengamalkannya, Insya Allah kita akan menerima lebih kasih sayang (kerana Allah).

Apa kata, pada hari ini kita sama-sama mula membuat panggilan, atau bertemu, dengan orang yang dikasihi dan menyatakan yang kita sayang padanya – atau pun menulis surat “cinta”. Kemudian kita sama-sama lihat apa yang terjadi selepas itu. Kalau ada sesiapa yang sudi nak berkongsi pengalaman, semua dialu-alukan. Gunakan ruang “Tulis Komen” di bawah.